Blogger Layouts

Saturday, September 24, 2011

Beribu-ribu Daripada Spesies Baru Marin Kini Ditemui



Keindahan dan kepelbagaian di lautan Bumi telah banyak didedahkan.
Bancian selama  sepuluh tahun tentang hidupan laut telah didokumenkan dan gambar makhluk yang aneh dan menarik yang tinggal di kawasan perairan laut dalam planet kita telah didedahkan kepada umum.

Sebanyak 6.000 spesies baru yang berpotensi telah dikenal pasti tetapi ahli sains berpendapat ini hanyalah satu permulaan. Tujuan penyelidikan adalah untuk mewujudkan garis dasar untuk menambah maklumat sebagai hidupan akuatik berkembang.

Dr.Paul Snelgrove yang mengambil bahagian dalam bancian itu berkata:
"Kami berfikir bahawa mungkin ada kira-kira 250,000 spesies yang diketahui dalam lautan, tetapi kita berfikir bahawa mungkin ada kira-kira satu juta atau lebih dalam jumlah dan yang tidak termasuk mikrob. Dan yang jelas sekali kami belum mempunyai sampel  kepelbagaian lautan dan kami perlu melakukan lebih banyak kajian tentangnya. "

Tetapi ianya bukanlah sekadar permainan nombor oleh ahli-ahli sains yang terlibat tetapi terdapat lebih 2,500 daripada mereka di seluruh dunia telah menjejaki corak migrasi dan menemui sambungan DNA yang bakal menambah maklumat penting kepada rangka tindakan genetik kehidupan di bumi.





Alam Sekitar Hak Bersama




Adakah kita sedar apa yang kita lakukan seharian bakal menggugat hak generasi masa hadapan? Kita semua ingin hidup dalam alam sekeliling yang sihat dan bersih. Udara segar. Langit biru. Pokok-pokok dan tanaman yang menghijau. Pantai yang bersih. Semuanya dapat menjadi kenyataan jika semua pihak berganding bahu menjaga kebersihan alam sekitar.


Salah satu hak pengguna ialah hak untuk hidup dalam alam sekitar yang sihat dan selamat. Hak mendapat alam sekitar yang sihat dan selamat bererti hak kepada alam sekitar fizikal yang akan memperbaiki atau meningkatkan mutu kehidupan. Hak ini melibatkan usaha mendapatkan perlindungan daripada masalah persekitaran yang di luar kawalan pengguna secara individu, tetapi boleh dibendung jika pengguna bertindak secara kolektif. Ia memaparkan keperluan memelihara dan melindungi alam sekitar untuk generasi masa kini dan masa hadapan sangat bergantung kepada muafakat di kalangan ahli-ahli masyarakat sepertimana perlu bagi menangani pelbagai masalah pengguna yang lain.


Kecuaian terhadap alam sekitar pada abad lalu telah mengakibatkan masalah seperti kepanasan dunia, penghakisan lapisan ozon, kehilangan kepelbagaian spesies haiwan dan tumbuhan, penyalahgunaan bahan kimia, pemusnahan hutan kesemuanya mengancam kesejahteraan dan keselamatan umat manusia. Semua penduduk sama ada di negara maju mahupun di negara membangun, sama ada yang tinggal di bandar mahupun di desa,kini terdedah kepada ancaman tersebut.


Kesemua ancaman itu bukanlah berlaku secara semulajadi ataupun kerana takdir. Tetapi sebaliknya ancaman itu adalah ekoran daripada perbuatan manusia sendiri. Pembangunan yang tidak mampan, penggunaan dan citarasa yang berlebihan telah menjejaskan kepentingan alam sekitar terutama pada kurun ini di mana terlalu besar ancaman telah dilakukan. Kita telah menggunakan sumber semulajadi secara membazir dan kurang berhemah.


Mahukah kita jika persekitaran kita seperti di dalam foto ini? Pasti anda juga jijik melihat suasana ini


Untuk mengatasi ancaman terhadap alam sekitar, semua pihak perlu membabitkan diri secara kolektif. Kerajaan, industri dan rakyat Malaysia mempunyai peranan masing-masing untuk mengatasi beberapa ancaman terhadap alam sekitar yang menjejaskan keselamatan dan kesejahteraan kita semua dan juga kesejahteraan hidup generasi akan datang.


Pastikan mulai hari ini, kita menjaga alam sekitar bersama-sama. Janganlah sesuka hati kita melakukan pencemaran atau pembuangan sampah bukan pada tempat yang betul. Bayangkan pengabaian kita hari ini akan memudaratkan keturunan kita juga pada masa akan datang. Sanggupkah kita wariskan gambar seekor kucing untuk ditunjukkan kepada kepada cucu kita nanti jika kucing telah pupus akibat perbuatan kita yang lalu? Sanggupkah anda menggalas tabung oksigen setiap masa pada usia emas nanti kerana udara masa itu cukup tercemar akibat pencemaran yang kita lakukan hari ini? Renung-renungkan...




Dipetik dan diedit daripada http://www.ehomemakers.net/my/article.php?id=362